Monday, October 25, 2010

11. Sup Rempah Herba Ikan Kerapu Mak Tam


Salam adik-adik semua,
Hai dah lama betul Kak Fatim tak berblog di sini. Kesibukan benar-benar menghambat Kak Fatim. Sehingga kadang kala menjadi keliru untuk membuat yang mana satu, hampir semuanya penting dalam hidup ini.

Hari ini, Alhamdulillah, dapat juga Kak Fatim menyampaikan satu ilmu yang InsyaAllah, bermanfaat untuk kalian semua. Hari ini kita nak masak sup ikan kerapu. Resepi mudah dan insyaAllah sedap dan berkhasiat. Cuma harga ikannya agak mahal sedikit.

Baiklah, inilah resepinya:

Bahan-bahannya:
4 ekor ikan kerapu dipotong 2 (saiz sederhana)
Garam kasar secukup rasa
Serbuk sup - 1 sudu makan
Air untuk merebus

Bahan A (untuk ditumbuk kasar):
Bawang merah - 5 ulas
Bawang putih - 3 ulas
Halia - 2 inci

Bahan B (Untuk ditabur)
Serbuk lada hitam - 1 sudu teh
Serbuk lada putih - 1 sudu teh
Serbuk daun selasih (basil) - 1 sudu teh - boleh dibeli dihypermarket
Serbuk daun salam (Bay leaves) - 1 sudu teh - boleh dibeli di hypermarket

Bahan C (Untuk ditumis-darat)
Minyak masak secukupnya
Bawang merah -5 ulas (dimayang)
Bawang besar - 1 biji (dimayang)
Serai - 2 batang (dipotong serong sepanjang 2 inci)

Bahan D (untuk hiasan)
Daun sup
Daun bawang

Bahan E (optional/jika suka)
Cili api
Perahan Asam limau

Cara-cara membuatnya:

1. Seperti biasa, masuk ke dapur bacalah doa memudahkan kerja :

"Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min amrina rashada"

2. Pakailah tutup kepala ketika memasak.

3. Ikan disiang, dibersihkan dan diselawatkan. Setelah itu dipotong 2 .

4. Pasang api, bacalah doa ini:

" Allahhumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh"

5. Letak periuk dan masukkan 5 cawan air di dalamnya. Rebus bahan A sehingga mendidih selama 5 minit, kemudian masukkan serbuk perencah sup dan garam kasar, rebus lagi selama 5 minit.

6. Masukkan ikan dan rebus sehingga ikan lembut.

7. Setelah itu, kacau sup dan masukkan kesemua bahan B ke dalam sup.

8. Panaskan minyak di dalam kuali yang berasingan dan tumis bahan C sehingga garing dan kemudian masukkan kesemua bahan yang telah ditumis beserta minyaknya sekali ke dalam sup ikan yang telah dimasak tadi. Kaedah ini dinamakan tumis darat.

8. Tutup api dan masukkan bahan D untuk hiasan dan bahan E jika anda sukakan sup yang pedas dan masam (ala thai)

9. Sedia untuk dihidang. Selamat mencuba...

Wednesday, October 13, 2010

10. Gulai / Kari Ikan Rempah Blend Cik Timah


Salam alaikum semua,

Harapnya hari ini kalian lebih ceria dari kelmarin. Apa macam? dah cuba ke resepi-resepi yang Kak Fatim tunjukkan tu?

Ha.. hari ni ada resepi yang lebih istimewa, terutamanya bagi orang utara atau penggemar kari. Namanya Kari Ikan Rempah Blend. Kenapa Kak Fatim kata istimewa? Sebab kalau siapa masak kari ni, dia akan menggunakan sepenuhnya bahan asal, tidak ada bahan yang telah siap di beli di kedai atau yang diproses. Rasanya pula, InsyaAllah seeeedap sangat, macam kari rempah giling. Cumanya, Kak Fatim mudahkan dengan menggunakan blender, hasilnya lebih kurang sama dengan rempah giling. Cuma masa blender tu kena berulang kali sampai betul-betul lumat. Cuba bayangkan kalau adik-adik masak kari ni untuk tetamu atau keluarga, bila dia orang tanya,

" Sedapnya kari ni, pakai rempah apa?"

" Alhamdulillah, rempah ni saya buat sendirilah mak cik". Tentu seronok bukan?

Oklah, dah panjang celoteh Kak Fatim,

Inilah resepinya,

Bahan-bahannya:

Bahan A (Dikisar sehingga lumat)

Rempah-rempah (direndam terlebih dahulu selama 1-2 jam):
-2 sudu makan ketumbar
-1 sudu makan jintan manis
-1 sudu makan jintan putih

-10 biji cili kering (dibuang sebahagian bijinya dan direbus hingga lembut)
-3 ulas bawang putih
-5 ulas bawang merah
-2 inci kunyit hidup

Bahan B (Untuk ditumis)

-Minyak masak secukupnya
-1 biji bawang besar- dipotong dadu
-5 Ulas bawang merah- dimayang
-2 Ulas bawang putih - dimayang
-1 biji buah tomato - dicincang
-Satu sudu makan halba campur
-3 tangkai daun kari

Bahan C (Dimasukkan kemudian)

-1 mangkuk kecil air asam jawa (dari sejemput asam jawa)
- Santan (RM1.00)
-Ikan isi (kacang-kacang/ bawal/ tenggiri atau lain-lain)
-10 biji kacang bendi
-3 biji buah tomato dibelah 4
-4 biji Cabai hijau dibelah dua jangan putus
-Garam secukup rasa

Cara memasak mengikut sunnah:

1. Seperti biasa, masuk dapur pakailah penutup kepala dan bacalah doa,

"Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min amrina rashada"

2. Semua bahan dicuci dan diselawatkan.

3. Nyalakan api dapur, baca doa ini:

" Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faq firli ansori wal muhajiroh"

4. Tuangkan minyak, tumis Bahan B sehingga garing, daun kari dimasukkan kemudian. Untuk mewangikan kari, perlahankan api dan tutup periuk semasa menumis, aroma wangi akan terperangkap di dalam periuk.

5. Kemudian masukkan Bahan A dan kacau selalu untuk mengelakkan rempah hangit. Tutup periuk dan perlahankan api untuk mewangikan kari.

6. Seterusnya masukkan air asam jawa, kacau campuran selalu. Sekiranya menggunakan ikan seludu, ploktan atu dari jenis yang agak liat, masukkan ikan ketika ini.

7. Seterusnya masukkan santan dan kacau selalu untuk mengelakkan pecah lemak (pecah lemak adalah keadaan dimana lemak dan air menjadi terasing dan gulai menjadi kurang cantik). Sekiranya menggunakan ikan lembut seperti kacang-kacang dan kembung, masukkan ikan sekarang.

8. Akhir sekali masukkan buah tomato dan kacang bendi, biar selama seminit dan tutup api. Selepas tutup api, taburkan cabai hijau di dalamnya dan tutup periuk.

9. Semasa memasak jangan lupa baca zikir memasak iaitu:
Laisalahamindunillahi kashifah -berulang kali
Istiqfar -3 x
Selawat - 3 x

Sedap itu dari Allah SWT, kita hanya berusaha...

Monday, October 11, 2010

9. Pincuk Mempelam Ayah Mertuaku



Salam sayang semua, Kak Fatim doakan semoga sihat dan bersemangat selalu.

Hari ni ada menu baru untuk kita kongsi besama-sama. Menu ini mudah, murah dan InsyaAllah membuka selera. Kalau adik-adik semua dah tak ada idea nak masak apa, bolehlah sediakan pincuk ini dan satu lagi masakan lain. Sudah cukup. Tak perlu perbanyakkan jenis lauk kerana pincuk ini memang lengkap dan cukup elemen rasanya seperti masam, manis dan masin. Pincuk ini kesukaan keluarga Kak Fatim, dipelajari dari ibu mertua Kak Fatim. Asalnya resepi dari arwah ayah mertua Kak Fatim, orang Melaka. Tapi Kak Fatim tak pastilah orang Melaka tahu atau tidak masakan ini.

Inilah bahan-bahannya:

10 biji mempelam putik (mempelam muda yang boleh dibelah dan tidak bersabut)
10 biji cili api hijau
1/2 botol kicap manis
5 sudu makan taucu (kacang masin)

Cara membuatnya:

1. Buah mempelam dicuci sebersih-bersihnya, buang bintil hitam atau sebarang cela di kulitnya.
Baca selawat dan sejat sehingga betul-betul kering. (Awas, buah yang basah akan menyebabkan pincuk anda berkulat selepas sehari. Pincuk yang elok boleh disimpan dalam bekas kedap udara dan bertahan selama 3-4 hari).

2. Cili api juga dicuci dan dikeringkan seperti buah mempelam.

3. Belah buah mempelam dan buang bijinya, kemudian potong nipis (setebal 3 mm)

4. Cili api dipotong atau dipatah-patahkan.

5. Campurkan kedua-dua bahan ini.

6. Tuang kicap manis dan masukkan tauchu. Kacau sehingga sebati.

7. Simpan dalam bekas kedap udara dan boleh dimakan (begitu sahaja atau bersama nasi)
selepas 3 jam.

8. Jika di makan sahaja bacalahdoa makan buah, " Allahumma bariklana fi samarina".

Sunday, October 10, 2010

8. Masak Asam Ikan Salmon

























Salam semua, harap sihat dan dirahmati Allah SWT.
Jumaat lepas Kak Fatim beli ikan Salmon untuk anak Kak Fatim, si Ummu Hanie yang terkena demam campak. Ikan tu Kak Fatim buat masak asam. Alhamdulillah, rasanya okay juga. Jadi Kak Fatim ingat nak tunjukkan cara-cara memasaknya kepada adik-adik semua.


Sebelum tu, dendangkan dulu pantun ini:

Ikan salmon dari Alaska
Asam jawa dari Malaysia
Dalam periuk bertemu juga.

Ha, inilah bahan-bahannya:

Bahan-bahan:

A. Untuk digoreng :
3 Ketul isi ikan salmon
1 sudu teh serbuk kunyit
Garam halus secukup rasa

B. Untuk di mayang dan ditumis:
4 Ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 biji bawang besar
Halia sebesar ibu jari

5 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
Minyak masak untuk menumis

Semangkuk air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Cili hijau dibelah

Kaedah Memasak Mengikut Sunnah :

1. Seperti biasa, masuk dapur bacalah doa memudahkan kerja :

"Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana minanrina rashada "

2. Semasa memasak hendaklah menutup kepala.

3. Pasang api bacalah doa ini:

" Allahhumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh"

4. Ketika memasak bacalah zikir memasak:

"Laisalaha min dunillahi kashifah" -berulang kali.
Istiqfar 3 x
Selawat 3 x

5. Panaskan minyak masak, tumis semua bahan yang dimayang beserta bunga lawang dan bunga cengkih sehingga garing.

6. Masukkan air asam jawa. Kacau perlahan dan biar hingga mendidih.

7. Masukkan ikan salmon yang telah digoreng. Kacau perlahan. Perlahankan api. Biar hingga mendidih sekali lagi.

8. Masukkan garam dan gula secukup rasa.

9. Akhir sekali, masukkan cabai hijau. Kacau masakan dan tutup api.

10. Sedia untuk dihidang. Bismillah...


Friday, October 8, 2010

7. Rendang Pedas Sotong



Salam, kelmarin Kak Fatim masak sotong. Masakan ni Kak Fatim namakan sebagai rendang pedas sotong sebab bahan-bahan yang digunakan hampir seakan-akan bahan untuk membuat rendang pedas. Rasanya, insyaAllah sedap. Tapi yang penting adalah cara memasaknya yang mengikut sunnah, pasti ada kebaikan kerana ini adalah janji Allah SWT.

Bahan-bahan :


Sekilo sotong, dibuang dakwat, gigi dan lapisan kulit luarnya, dibersihkan dan diselawatkan.

Bahan untuk dikisar (kasar) :

Dua batang serai
1 biji bawang besar
5 ulas bawang merah
1/2 labu bawang putih
5 biji cili merah (dikisar biar kelihatan bijinya)
1 inci kunyit hidup atau satu 1/2 sudu kunyit serbuk
1/2 cawan air asam jawa
garam dan gula secukup rasa


Cara-cara memasaknya:


1. Seperti biasa, masuk dapur bacalah doa memudahkan kerja :

"Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana minanrina rashada "

2. Pasang api bacalah doa ini:

" Allahhumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh"

Ketika memasak bacalah zikir memasak:

"Laisalaha min dunillahi kashifah" -berulang kali.
Istiqfar 3 x
Selawat 3 x

3. Panaskan minyak dan tumis semua bahan yang dikisar kasar sehingga garing.

4. Masukkan sotong, garam dan gula secukup rasa dan kacau salama 5 minit.

5. Masukkan cabai hijau sebagai hiasan. Kacau lagi

6. Tutup api. Angkat dan hidangkan di dalam mangkuk. Bismillah...

Tip : Masakan laut seperti udang, sotong dan ketam hendaklah dimasak dalam masa yang singkat dengan api yang cukup kuat. (tip dari Chef Florence Tan)




Monday, October 4, 2010

6. Masala Kambing Pakistan




Salam, apa khabar semua.. semoga sihat.

Hari ni ada lagi satu juadah istimewa yang Kak Fatim nak tunjukkan. Kak Fatim selalu masak juadah ni di hari-hari istimewa seperti Hari Raya dan apabila pulang ke kampung. Masakan ini namanya Masala Kambing Pakistan. Asal resepi kakFatim pelajari dari orang Pakistan yang bernama Chef Omri Shahar. Resepi asal adalah Chicken Tikka Masala. Biasalah, Kak Fatim ni suka modified resepi. Ubah sana sini, sesuaikan dengan cita rasa melayu, tak masak ayam, tapi kambing. Alhamdulillah, Allah sedapkan masakan ini. Family, saudara mara dan kawan-kawan memang suka masakan ni. Anyway, thanks a lot Chef Omri Shahar.


Bahan-bahan:


1 Kilo kambing
Air secukupnya untuk merebus
Semangkuk santan / secawan susu / secawan tairu (pilih salah satu)




Rempahnya:

2 sudu makan serbuk jintan putih
2 sudu makan serbuk rempah saja(coriander powder)
2 sudu makan serbuk paprika (boleh dibeli di hypermarket)
1 sudu makan serbuk cili atau cayyenne (boleh dibeli di hypermarket)
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam masala (dapatkan dikedai rempah/mamak)
1 sudu teh serbuk pala
2 sudu makan tomato puree


Bahan tumis :

Minyak untuk menumis
1 batang kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
2 biji bawang besar dipotong dadu
2 biji buah tomato dicincang
3 inci halia ditumbuk lumat
6 ulas bawang putih ditumbuk lumat

Cara-cara memasaknya:

1. Seperti biasa, masuk dapur bacalah doa memudahkan kerja :

"Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana minanrina rashada "

2. Pasang api bacalah doa ini:

" Allahhumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh"

3. Rebus daging kambing sehingga empuk.

4. Panaskan minyak. Tumiskan kulit kayu manis dan buah pelaga sehingga naik bau.
Kemudian masukkan bawang besar dan kacau perlahan sehingga garing.

5. Setelah garing, masukkan halia dan bawang putih yang telah ditumbuk.
Kacau perlahan sehingga garing. Seterusnya masukkan rempah dan sedikit air.
Kacau perlahan sehingga pecah minyak.

6. Seterusnya masukkan tomato puree. kacau lagi sehingga pecah minyak.

7. Seterusnya masukkan kambing beserta sedikit air rebusan. Kacau lagi sehingga mendidih.

8. Akhir sekali masukkan santan/susu atau tairu. Kacau sehingga kuah pekat. Tutup api.

9. Taburkan daun ketumbar, daun bawang dan cili semasa menghidang.

10. Boleh dimakan bersama nasi putih, nasi hujan panas, nasi minyak atau nasi beriani.
Bismillahirrahmanirrahim..

Sunday, October 3, 2010

5. Bihun Sup Cik Abang (ala Thai)




bihun sup cik abang

sup sahaja tanpa bihun

Salam semua, moga sihat hendaknya.

Hari ni Kak Fatim nak tunjukkan cara memasak bihun sup tulang ala mee celup Thai yang InsyaAllah.. menambat hati sesiapa yang memakannya. Bihun Sup ni Kak Fatim beri nama Bihun Sup Cik Abang. Sebabnya, masa Kak Fatim balik kerja hari tu, Suami kak Fatim tengah masak sup tulang untuk di makan dengan bihun sup. Tapi macam biasalah, orang lain yang mula orang lain yang sudahkan. Hampir waktu Maghrib tu, suami Kak Fatim pergi masjid, kak Fatim modified sup tu jadi ala-ala bihun sup celup (ala Thailand).

Bahan-bahan

1. Untuk bihun sup:

Sebungkus bihun dicelup air panas.
Sedikit taugeh mentah
Kacang tanah digoreng dan ditumbuk
Daun Sup dan daun bawang dihiris halus untuk ditabur
Bawang goreng
Buah tomato dihiris

2. Sos pedas bihun sup (tumbuk lumat semua bahan ini)

10 biji cili api hijau
Sejemput bawang goreng
Garam & gula secukup rasa
Air perahan limau nipis

3. Kuah bihun sup

Tulang lembu bahagian rusuk dan sedikit daging
Air secukupnya untuk merebus

Sedikit minyak untuk menumis
4 inci halia dihiris halus
5 Ulas bawang putih dimayang
10 Ulas bawang merah dimayang
Sebiji bawang besar
Rempah empat sekawan (Bunga lawang, bunga cengkih, kk manis, buah pelaga)
Bunjut sup atau serbuk sup (optional)

5 biji ubi kentang -dibuang kulit dan dibelah 4
1 biji lobak merah dipotong saiz seinci
Kobis dicarik2
Daun sup dan daun bawang (bahagian tangkai bawah dipotong panjang).

Garam kasar
Gula batu

Kaedah memasak sup:

1. Seperti biasa, masuk dapur pakai tutup kepala dan bacalah doa ini:

"Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min anrina rashada"

2. Pasang api baca doa ini:
" Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faq firli ansori wal muhajiroh"

3. Tumiskan rempah empat sekawan, bawang-bawang dan halia yang telah dihiris sehingga
garing. Masukkan air untuk merebus.

4. Rebus tulang dan daging . Ketika merebus bolehlah baca zikir memasak spt di bawah:

"Lai salaha min dunillahi kasyifah"
- Astaqfirullahal azim... 3 x
- Selawat 3 x

5. Setelah daging empuk masukkan lobak dan kentang.

6. Seterusnya, masukkan garam dan gula batu, kacau sup.

7. Akhir sekali masukkan kobis, daun sup dan daun bawang.

Cara memakannya:

Masukkan sedikit bihun ke dalam mangkuk, taburkan sedikit taugeh dan hirisan tomato. Tuangkan kuah sup kedalamnya. Kemudian taburkan kacang tumbuk, sos pedas cili api, bawang goreng, daun sup dan daun bawang.

Bismillah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...