Wednesday, October 13, 2010

10. Gulai / Kari Ikan Rempah Blend Cik Timah


Salam alaikum semua,

Harapnya hari ini kalian lebih ceria dari kelmarin. Apa macam? dah cuba ke resepi-resepi yang Kak Fatim tunjukkan tu?

Ha.. hari ni ada resepi yang lebih istimewa, terutamanya bagi orang utara atau penggemar kari. Namanya Kari Ikan Rempah Blend. Kenapa Kak Fatim kata istimewa? Sebab kalau siapa masak kari ni, dia akan menggunakan sepenuhnya bahan asal, tidak ada bahan yang telah siap di beli di kedai atau yang diproses. Rasanya pula, InsyaAllah seeeedap sangat, macam kari rempah giling. Cumanya, Kak Fatim mudahkan dengan menggunakan blender, hasilnya lebih kurang sama dengan rempah giling. Cuma masa blender tu kena berulang kali sampai betul-betul lumat. Cuba bayangkan kalau adik-adik masak kari ni untuk tetamu atau keluarga, bila dia orang tanya,

" Sedapnya kari ni, pakai rempah apa?"

" Alhamdulillah, rempah ni saya buat sendirilah mak cik". Tentu seronok bukan?

Oklah, dah panjang celoteh Kak Fatim,

Inilah resepinya,

Bahan-bahannya:

Bahan A (Dikisar sehingga lumat)

Rempah-rempah (direndam terlebih dahulu selama 1-2 jam):
-2 sudu makan ketumbar
-1 sudu makan jintan manis
-1 sudu makan jintan putih

-10 biji cili kering (dibuang sebahagian bijinya dan direbus hingga lembut)
-3 ulas bawang putih
-5 ulas bawang merah
-2 inci kunyit hidup

Bahan B (Untuk ditumis)

-Minyak masak secukupnya
-1 biji bawang besar- dipotong dadu
-5 Ulas bawang merah- dimayang
-2 Ulas bawang putih - dimayang
-1 biji buah tomato - dicincang
-Satu sudu makan halba campur
-3 tangkai daun kari

Bahan C (Dimasukkan kemudian)

-1 mangkuk kecil air asam jawa (dari sejemput asam jawa)
- Santan (RM1.00)
-Ikan isi (kacang-kacang/ bawal/ tenggiri atau lain-lain)
-10 biji kacang bendi
-3 biji buah tomato dibelah 4
-4 biji Cabai hijau dibelah dua jangan putus
-Garam secukup rasa

Cara memasak mengikut sunnah:

1. Seperti biasa, masuk dapur pakailah penutup kepala dan bacalah doa,

"Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min amrina rashada"

2. Semua bahan dicuci dan diselawatkan.

3. Nyalakan api dapur, baca doa ini:

" Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faq firli ansori wal muhajiroh"

4. Tuangkan minyak, tumis Bahan B sehingga garing, daun kari dimasukkan kemudian. Untuk mewangikan kari, perlahankan api dan tutup periuk semasa menumis, aroma wangi akan terperangkap di dalam periuk.

5. Kemudian masukkan Bahan A dan kacau selalu untuk mengelakkan rempah hangit. Tutup periuk dan perlahankan api untuk mewangikan kari.

6. Seterusnya masukkan air asam jawa, kacau campuran selalu. Sekiranya menggunakan ikan seludu, ploktan atu dari jenis yang agak liat, masukkan ikan ketika ini.

7. Seterusnya masukkan santan dan kacau selalu untuk mengelakkan pecah lemak (pecah lemak adalah keadaan dimana lemak dan air menjadi terasing dan gulai menjadi kurang cantik). Sekiranya menggunakan ikan lembut seperti kacang-kacang dan kembung, masukkan ikan sekarang.

8. Akhir sekali masukkan buah tomato dan kacang bendi, biar selama seminit dan tutup api. Selepas tutup api, taburkan cabai hijau di dalamnya dan tutup periuk.

9. Semasa memasak jangan lupa baca zikir memasak iaitu:
Laisalahamindunillahi kashifah -berulang kali
Istiqfar -3 x
Selawat - 3 x

Sedap itu dari Allah SWT, kita hanya berusaha...

5 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Fatim,
    Saya orang baru nak belajar memasak. Hari ni nak cuba masak gulai/Kari Ikan Rempah Blend Cik Timah. Semoga berjaya menghasilkan kari yang lazat dan diingati kelazatannya oleh keluarga saya.

    ReplyDelete
  4. Mohon maaf kerana mengotori ruangan komen ini. Saya terpaksa Delete pos-pos saya kerana terlupa nak bagi salam waktu masuk ke ruangan puan tadi.
    Mereka tidak benarkan saya Edit pos.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum.nk tnyelah rempah nie blh tk untuk masak gulai ayam?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...