Monday, April 18, 2016

Masak Lemak Cili Api Udang dan Kacang Buncis

Assalamualaikum wbt,
Ini resepi masak lemak kacang buncis yang diperturunkan oleh bonda Kak Fatim. Tapi, macam biasalah. Kak Fatim ejas sikit bahannya. Lauk ini memang sedap dan anak-anak Kak Fatim suka sangat. Boleh tukar udang dengan sotong atau ketam.


Bahan-bahannya adalah seperti berikut:
1/2 kg udang harimau
2 inci belacan
1 inci kunyit hidup
1 sudu teh serbuk kunyit
5-10 biji cili api
5-10 biji bawang merah
2 batang serai dititik
3-5 keping asam keping
Air secukupnya
Santan secukupnya (lebih kurang RM3.00)
Garam secukup rasa.
Kacang buncis - secekak
Kalau suka masukkan beberapa carik daun kunyit.

Kaedah Mengikut Sunnah:
1. Masuk ke dapur pakailah tutup kepala dan bacalah doa ini:  
                  "Allahumma rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min amrina rashada" (surah Al Kahfi)

2. Kisarkan cili api, belacan, bawang merah dan kunyit hidup.

3. Pasang api perlahan, bacalah doa ini :
                   "Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh"

4. Letakkan periuk di atas api dan masukkan bahan yang siap dikisar. Masukkan asam keping dan   serai.Kacau sedikit dan biar sehingga agak kering.

5. Setelah itu masukkan 2 cawan air dan kacau. Bacalah zikir memasak seperti ini:
                     Istiqfar- 3x
                     Selawat - 3x
                     Subhanallah - berulang kali

6. Masukkan garam secukup rasa.

7. Sekiranya warna masakan adik-adik pudar, masukkan sedikit lagi serbuk kunyit dan kacau.

8. Biar sehingga masakan berbuih/mendidih sedikit, kemudian masukkan santan pekat secukupnya. Kuantiti santan adalah mengikut kegemaran anda, jika anda sukakan kuah lemak yang pekat, masukkan lebih santan pekat.

9. Masukkan juga udang harimau dan kacang buncis. 

10. Kacau masakan perlahan-lahan dengan kaedah mencedok kuah dengan menggunakan senduk dan menuang kembali ke atas masakan.  Jangan biarkan kuah mendidih sehingga pecah lemak. Kuah yang pecah lemak (lemak dan air terasing) akan menjejaskan rupa masakan.

11. Setelah masak, hiaskan dengan daun kunyit.

Selamat mencuba...
            

KURSUS PENDEK PEMBUATAN PRODUK MAKANAN LAUT (SURIMI) DAN YONG TAU FU


Assalamualaikum, ada sesiapa yang berminat untuk belajar buat produk surimi ni. Kak Fatim boleh ajar. Yurannya RM100.00 sahaja. Tetapi dalam kelas perlu ada sekurang2nya 10 orang. Kalau ada 20 orang, yurannya turunkan jadi RM70.00 je. 


Kak Fatim akan ajar bermula dari mengorek isi ikan, Kemudian proses isi ikan dan sumbat dlm sayuran dan kulit wantan/ fucuk lembut. Lepas tu Kak Fatim akan ajar 3 jenis kuah iaitu kuah sup, kuah hitam manis dan kuah merah pedas. Kalau minat sila contact K. Fatim di nombor: 016-4629341 atau 019-4562146. Ingat, mesti datang dalam group tau, sengsorang Kak Fatim tak boleh ajar sebab harga bahannya tu, mahal sangat dan tak boleh beli sikit-sikit.



Wednesday, April 13, 2016

MASAK LEMAK CILI PADI UMBUT KELAPA


Assalamualaikum semua, lama dah Kak Fatim tak menulis ni. Apa nak buat, hilang mood. Sekarang ni mood buat novel pulak..he..he..

Ni ada resepi baharu. Sebelum tu Kak Fatim nak teka teki dulu.

Soalan: Masak apa kena tebang pokok dulu, baru boleh masak?

Ha, jawapannya, masak umbut kelapalah...

Baiklah, bahan-bahannya seperti di bawah:

Dikisar halus:
5 ulas bawang merah
1 biji bawang besar
5 biji cili api
Sedikit belacan

Bahan lain:
2 batang serai diketuk
4 keping asam keping
1 kati udang siap diproses
Umbut kelapa yang telah diproses, lebih kurang 1/2 kilo
1 sudu teh kunyit serbuk
Santan lebih kurang RM3.00
Garam  secukup rasa
Air secukupnya
Sedikit minyak masak

Cara-cara membuatnya:

1. Semasa memasak jangan lupa amalkan adab memasak beserta doa-doanya sekali (boleh ambil dalam entry-entry yang sebelum ni. Tak sempat pula nak ulang tulisnya sebab lately kalut sangat2).

2. Masukkan bahan dikisar, serbuk kunyit, asam keping dan serai yang telah diketuk. Masak sehingga kering sedikit.

3. Kemudian, masukkan sedikit air dan kacau, air lebih kurang 2 gelas je.

4. Bila mendidih masukkan udang dan umbut kelapa. Kacau sekejap-sekejap.

5. Bila umbut kelapa tu agak lembut sikit, masukkan santan pekat. Tunggu hingga mendidih semula. Kacau perlahar, jangan biarkan masakan pecah lemak, nanti masakan tak cantik.

6. Tutup api dan bolehlah dihidang. Bismillah..


Inilah ropenye umbut kelapa tu. Payah nak dapat tau..

Umbut kelapa yang dah diproses. Sepatutnya proses lebih nipis lagi.
Tapi suami K Fatim suka makan yang kasar macam ni.

Saturday, September 8, 2012

SOTONG GORENG BERDAKWAT


Salam semua...sawadikappp....Hari Isnin nanti deligasi dari Thailand nak datang melawat kolej komuniti tempat Kak Fatim mengajar..Kenalah training cakap Thailand pulak..

Haa.. ni resepi baru. Takut tak dengar nama masakan tu? Serius, memang itulah namanya.

Baiklah, bahan-bahannya seperti di bawah:

1 kati sotong siap diproses (Kak Fatim buang kulit luarnya, matanya, tulang dan giginya sekali)
2 biji bawang besar dimayang
1 biji cili merah
Sedikit daun bawang dipotong panjang2
1/2 sudu teh kunyit serbuk
Kacang pin (buncis) dipotong pendek-pendek
Dakwat sotong dari seekor sotong sahaja. (yang lain-lain buang tau.. jangan ambik semua sekali nanti jadi sotong masak negro pulak..)
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit minyak masak

Cara-cara membuatnya:

1. Semasa memasak jangan lupa amalkan adab memasak beserta doa-doanya sekali (boleh ambil dalam entry-entry yang sebelum ni. Tak sempat pula nak ulang tulisnya sebab lately kalut sangat2).

2. Pijarkan minyak di dalam kuali.

3. Setelah panas, masukkan semua bahan kecuali kacang buncis. Kacau rata-rata. Jangan lupa masukkan buntil dakwat sotong tu. Dia akan pecah dalam kuali dan kuah sotong akan menjadi hitam.

4. Sebaik sotong mengecut dan mengeluarkan airnya, masukkan kacang buncis.

5. Kacau dan tutup api.

6. Boleh dihidang. Bismillah..

** Petua memasak makanan laut:  Semua makanan laut seperti udang, sotong dan ketam hendaklah dimasak dengan api yang panas dan sekejap sahaja. Untuk sotong, kalau boleh jangan masukkan air sebab ia kan mengeluarkan air yang banyak. Jangan tudung periuk semasa memasak semua makanan laut. Kalau tutup dan lama..InsyaAllah liatlah jadinya. (petua ni Kak Fatim dapat dari Chef Florence yang iklan minyak Neptune tu..)

 

DAGING MANIS BERSAYUR

 
 Assalamualaikum semua... apa khabar?Harap sihat-sihat selalu. Minta maaflah dah berbulan Kak Fatim tak update blog.  Bukan tak update langsung, Kak Fatim update blog lain. Maklumlah banyak sangat blog. Lagipun sejak akhir-akhir ini Kak Fatim sibuk menulis novel. Dah siap dah 2 novel, tunggu nak cetak aje. Kesian kat Si Eni dari Pmtg Pauh punya pasal, Kak Fatim cari jugaklah gambar masakan yang kak Fatim simpan.

Aaa..hari ni nak tunjukkan macam mana nak masak daging manis bersayur. Sedap masakan ni kalau kena gayanya. Bahan pun tak banyak.

Bahan-bahannya:

1 kati daging
1/2 biji buah nenas yang masak ranum dan manis
2 biji bawang besar dibelah 4 atau 6
10-15 biji cili kering direbus terlebih dahulu dan dibasuh
Halia besar ibu jari
Lengkuas besar ibu jari
Kicap manis secukup rasa
Kacang pin atau kacang panjang dipotong pendek-pendek
Bunga Kobis/Carrot/ baby corn (ikut sukalah)
Sedikit air
Sedikit minyak masak
Garam dan gula secukup rasa
inilah bahan2nya
 
 Cara memasak:

1. Macam biasalah, masuk ke dapur tu, tutuplah kepala, pakai cekup kepala pun okey. Bacalah doa yang kak Fatim dah ajar dalam entry2 yang lepas. (Tak sempat pulak nak tulis hari ni..kekalutan)

2.  Masukkan daging, sedikit air, buah nenas yang dihancurkan dan bawang besar.
3.  Kacau dan tutup periuk/kuali. Perlahankan api. Kacau sekali-sekala sehingga daging empuk sedikit.
4. Masukkan cili kering yang telah dimesin bersama halia dan lengkuas. Kacau lagi dan tutup kuali.
 5. Agak-agak 5 minit, tuangkan sedikit minyak masak. Kacau lagi.
6. Bila daging dah lembut, masukkan kicap manis secukup rasa, garam dan gula.

 7. Bila daging sudah empuk, masukan sayur-sayuran yang telah dipotong, kacau dan tutup api. Kemudian tudung periuk. Sayur itu akan lembut sendiri. Ginilah ropenye bila dah hampir masak...

8. Angkat dan hidangkan dengan nasi putih. Bismillah...


Tuesday, January 24, 2012

LAKSA MAMBO SIMPANG EMPAT


Salam adik-adik semua, semoga sihat-sihat. Kalau tidak sihat pun perlu bersyukur. Itu ujian dari Allah SWT untuk hambaNya agar dosa-dosa hambaNya diampunkan. Kak Fatim pun tak sihat sejak akhir-akhir ini. Bila sering sakit, kita sering ingatkan kematian. Maka dari situ, kita sering ingat pada Allah SWT. Kadang-kala bila dah sakit sangat, air mata pun mengalir. Tapi Kak Fatim sering berdoa pada Allah SWT agar dipanjangkan usia dalam keadaan sentiasa ingat padaNya dan berpeluang berbuat kebajikan. Tidak mengapalah kalau kakak rasa sakit, asal penyakit itu tidak mudarat dan menghalang kita dari ibadah.

Dalam sakit-sakit pun Kak Fatim teringat nak update blog. Maklumlah masak ni memang Kak Fatim minat. Hari ni Kak Fatim nak perkenalkan sejenis masakan tradisi orang Pulau Pinang yang memang terkenal. Laksa. Tapi ini laksa mambo. Laksa mambo ni ada di jual di banyak tempat di Seberang Perai. Kalau dibeli di kedai berlainan, rasanya lain-lain. Ikut suka tuan yang memasaknya. Tapi yang Kak Fatim nak ajar ni adalah jenis yang Kak Fatim makan masa kecil-kecil dahulu. Kak Fatim modified sikit, masukkan cucur tepung beras, cucur tepung beras ni adalah tradisi orang kampung Kak Fatim di daerah Simpang Empat Tasek. Kalau mereka makan laksa mesti ada cucur tepung beras. Kalau tak ada macam tak lengkap.

Bahan-bahan:

1. Untuk Kuah

1 kati ikan sardin (selayang)
1/2 kati ikan kembung
1 tin ikan sardin dalam tin
15 keping asam keping
10 biji bawang merah
2 biji bawang besar di belah 4
3 inci belacan
20 tangkai cili kering
Dua kuntum bunga kantan dan batangnya dibelah dua dan dipotong pendek
10 tangkai daun cendehom
Garam kasar secukup rasa.

2. Untuk Laksa dan bahan untuk ditabur diatasnya


1 bungkus laksa direndam terlebih dahulu hingga lembut
1 biji bawang besar dimayang nipis
1 biji timun dihiris panjang (seperti gambar di atas)
Daun salad dirincik halus
Daun janggus (gajus) dirincik halus
Limau kasturi dibelah dua
Telur rebus dibelah dua
Cili merah dan cili api dirincik halus


 Kaedah memasak mengikut sunnah:

1. Waktu memasak hendaklah memakai tutup kepala.
2. Masuk ke dapur bacalah doa untuk mempermudahkan kerja iaitu:
"Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyik lana min amrina rashada" ( sila rujuk bacaan sebenar dalam surah Al Kahfi.

3. Pasang api dan bacalah doa ini:
" Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh"

4. Basuh semua bahan dengan berselawat ke atas Rasulullah SAW.

5. Rebus air hingga mendidih dan masukkan laksa yang telah direndam tadi, cara ini akan mempercepatkan masaknya laksa tadi dan menghalang dari mudah patah.

6.. Angkat laksa yang telah lembut dan toskan airnya. Anda boleh juga membasuh laksa yang telah masak dengan membilas di bawah pancuran air. Ini akan menghilangkan kanji yang berlebihan dan melekit pada laksa.

7. Cara menghidang, laksa boleh disenduk masuk ke dalam pinggan dan ditaburkan dengan bahan-bahan yang telah dipotong halus tadi.
 Cara Memasak Kuah:

1. Potong cili kering pendek-pendek dan rebus bersama sedikit air di atas dapur. Setelah mendidih dan lembut, basuh cili tadi dan buang sebahagian besar bijinya. Cara ini perlu diamalkan setiap kali menggunakan cili kering dalam masakan kerana ia akan menghilangkan sebahagian besar asid borik semulajadi yang terdapat di dalam cili yang amat merbahaya untuk perut kita.

2. Kisarkan bawang besar, bawang merah, cili kering yang telah direbus barsama belacan.

3. Masukkan campuran yang telah dikisar ke dalam periuk dan rebus. Masukkan bersama asam keping dan bunga kantan. Rebus hingga kering dan hilang bau bawang mentah. Setelah kering tambahkan sedikit air, rebus lagi dengan api perlahan.

4. Rebus ikan sardin dan ikan kembung sehingga masak, toskan airnya dan sejukkan. Kemudian asingkan isi dengan tulangnya dan kisar isi ikan berkenaan. Gunakan air rebusan ikan semasa mengisar.

5. Setelah dikisar, masukkan dalam kuah yang sedang ditanak tadi.
Bacalah zikir memasak iaitu :
Istiqfar -3x
Selawat - 3 x
Subhanallah - sepanjang memasak

6. Kemudian, kisar sardin tin dan masukkan bersama kuah tadi. Masukkan garam kasar dan air secukupnya (guna air masak) dan kacau dari masa ke semasa sehinggalah kuah masak. Elakkan menggunakan garam halus kerana ia akan membuatkan kuah terasa payau.

7. Setelah masak, masukkan daun cendehom dan tutup api. Hidangkan dengan mencurah kuah secukupnya ke atas laksa tadi.



3. Bahan untuk cucur tepung beras

1/3 Kg tepung beras
Semangkuk udang saiz kecil dibuang kulit dan dibersihkan atau
Segenggam ikan bilis dikisar
1/2 sudu teh serbuk kunyit
Garam dan air secukupnya


Cara-cara membuat cucur tepung beras:

1. Campurkan semua bahan yang disenaraikan di atas dan kacau sebati. Adunan hendaklah cair dan tidak boleh dijemput.


2. Panaskan kuali, masukkan minyak banyak dan curah-curahkan minyak di sekeliling bahagian kuali yang tidak terkena minyak. Setelah minyak panas, leretkan satu senduk adunan tadi di kuali dan curahkan sedikit minyak ke atas adunan yang melekat pada kuali. Apabila ia lekang, goreng kepingan cucur tadi sehingga garing dan angkat.
3. Toskan minyak dan guntingkan kecil-kecil. Taburkan dalam hidangan laksa tadi sebelum anda curahkan kuah ke atasnya. Cucur ini sepatutnya menjadi lembut dan menyerap kuah berkenaan.







Sebelum makan, jangan lupa baca basmalah dan  doa makan.

Wednesday, January 4, 2012

KENG SOM SONGKHLA


Salam adik-adik semua. apa khabar? Dah lama Kak Fatim tak mengisi blog ni dengan resepi baru. Sebenarnya gambar masakan tu memanglah banyak. Tapi sebab tak ada mood, Kak Fatim simpan-simpan dululah resepi tu. Hari ni barulah ada mood...

Haa.. hari ni Kak Fatim nak tunjukkan cara memasak satu masakan yang special. Kalau dah pandai ni tak payahlah pergi ke kedai beli masakan ni. Boleh je buat sendiri kat rumah. Nama masakan ni ialah Keng Som. Masakan ni dari Thailand. Kak Fatim belajar ni pun dengan orang Thailand juga. Masakan ni ada bermacam versi, macam asam pedas kitalah, orang Johor masak lain sikit, orang Melaka masak lain sikit, tapi namanya asam pedas juga. Yang Kak Fatim nak ajar ni ialah versi Songkhla.

Bahan-bahannya:

i) Untuk dikisar
1 inci kunyit hidup
5-7 biji bawang merah
5-7 biji cili api
2 inci belacan siam (belacan kita pun boleh juga, pilih yang baik sikit)
1 cawan air asam jawa atau sejemput asam jawa tanpa biji
** (Untuk Keng Som ala Narathiwat bolehlah dimasukkan beberapa batang serai dikisar).

Bahan lain
5 ketul isi ikan (pilih ikan besar bersisik seperti kerisi, jenahak, grut2, ikan parang dll)
Air masak secukupnya untuk kuah
Garam kasar secukup rasa
Gula kerek (gula somtam) atau gula biasa
5 tangkai daun cendehom
Beberapa tangkai sayur kangkung

Kaedah memasak mengikut sunnah:

1. Masuk ke dapur, pakailah tutup kepala semasa memasak dan bacalah doa memudahkan kerja.
" Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min amrina rashada "-surah Al Kahfi .

2. Setelah itu, letak kuali atas tungku dapur dan bacalah doa ini ketika memasang api:
"Allahumma la aisya illa aisul akhirah, faqfirli ansori wal muhajiroh " 

3. Kemudian, masukkan bahan dikisar ke dalam kuali dan kacau perlahan-lahan sehingga ia sejat. Kecilkan api semasa proses ini.



Setelah sejat, masukkan air masak secukupnya untuk memperbanyakkan kuah tadi . Kacau sehingga rata dan biarkan mendidih. Setelah mendidih masukkan ikan yang telah siap diproses dan dicuci. Kacau lagi sehingga medidih semula. Setelah itu, masukkan garam dan gula kerek secukup rasa.

Bacalah zikir memasak seperti berikut:
Istiqfar - 3 x
Selawat - 3 x
Subhanallah - berulang kali.

 Setelah itu, masukkan beberapa tangkai daun cendehom dan sayur kangkung. Masukkan juga timun yang dipotong serong juika suka.
 Tunggu sehingga mendidih dan tutup api.

Keng Som telah siap untuk dihidang. Makan panas-panas bersama nasi yang baharu dimasak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...