Monday, October 11, 2010

9. Pincuk Mempelam Ayah Mertuaku



Salam sayang semua, Kak Fatim doakan semoga sihat dan bersemangat selalu.

Hari ni ada menu baru untuk kita kongsi besama-sama. Menu ini mudah, murah dan InsyaAllah membuka selera. Kalau adik-adik semua dah tak ada idea nak masak apa, bolehlah sediakan pincuk ini dan satu lagi masakan lain. Sudah cukup. Tak perlu perbanyakkan jenis lauk kerana pincuk ini memang lengkap dan cukup elemen rasanya seperti masam, manis dan masin. Pincuk ini kesukaan keluarga Kak Fatim, dipelajari dari ibu mertua Kak Fatim. Asalnya resepi dari arwah ayah mertua Kak Fatim, orang Melaka. Tapi Kak Fatim tak pastilah orang Melaka tahu atau tidak masakan ini.

Inilah bahan-bahannya:

10 biji mempelam putik (mempelam muda yang boleh dibelah dan tidak bersabut)
10 biji cili api hijau
1/2 botol kicap manis
5 sudu makan taucu (kacang masin)

Cara membuatnya:

1. Buah mempelam dicuci sebersih-bersihnya, buang bintil hitam atau sebarang cela di kulitnya.
Baca selawat dan sejat sehingga betul-betul kering. (Awas, buah yang basah akan menyebabkan pincuk anda berkulat selepas sehari. Pincuk yang elok boleh disimpan dalam bekas kedap udara dan bertahan selama 3-4 hari).

2. Cili api juga dicuci dan dikeringkan seperti buah mempelam.

3. Belah buah mempelam dan buang bijinya, kemudian potong nipis (setebal 3 mm)

4. Cili api dipotong atau dipatah-patahkan.

5. Campurkan kedua-dua bahan ini.

6. Tuang kicap manis dan masukkan tauchu. Kacau sehingga sebati.

7. Simpan dalam bekas kedap udara dan boleh dimakan (begitu sahaja atau bersama nasi)
selepas 3 jam.

8. Jika di makan sahaja bacalahdoa makan buah, " Allahumma bariklana fi samarina".

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...