Saturday, February 19, 2011

23. Lempeng Kelapa Kemantan (Peknga Nyok Kemantan)

Hidangan lempeng dengan gulai ikan semalam

 Salam adik-adik pembaca semua, Kak Fatim doakan anda semua dalam limpahan rahmat, sakinah dan hidayah dari Allah SWT.

Hari ni Kak Fatim nak tunjukkan cara-cara memasak satu resepi yang cukup istimewa dan cukup menyelerakan, insyaAllah. Resepi ini adalah resepi tradisi orang-orang tempatan di perkampungan Kak Fatim. Namun begitu Kak Fatim tak pasti orang-orang muda di kawasan ini masih tahu cara membuatnya. Caranya memang mudah dan rasanya memang sedap. Sampai teringat-ingat. Apalagi kalau makan time panas-panas dan dicicah dengan gulai ikan semalam. Amboi mak, berebut anak-anak Kak Fatim sampai bergaduh-gaduh. Kelakar pulak rasanya.

Bahan-bahannya pulak tak susah diperolehi. Kebetulan di belakang rumah Kak Fatim ada pokok kelapa. Tapi bagi sesiapa yang tak ada pokok kelapa, beli aje air kelapa muda dan isinya sekali. Minta pada penjual air kelapa tu isi kelapa yang agak keras sikit. Istilah orang utara - kemantan. Mudah aje kan?

Baiklah, resepinya begini :

Bahan-bahan: (untuk hidangan 5-7 orang)

600 g tepung gandum
Semangkuk isi kelapa muda kemantan
1 gelas air kelapa muda
2 sudu makan gula (boleh dikurangkan jika tidak suka)
1 sudu teh garam halus
2 biji telur
Air masak secukupnya
Sedikit minyak masak

Cara Memasak Mengikut Sunnah: 

1. Masuk dapur pakailah tutup kepala dan bacalah doa ini:

" Robbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min amrina roshada " -sebahagian ayat ke 10 surah Al Kahfi.    

2. Masukkan tepung ke dalam mangkuk bersama garam dan gula.

3. Gaul-gaulkan sebati. Pecahkan 2 biji telur ke dalamnya dan gaul lagi sehingga menjadi seperti serbuk roti.

4. Masukkan air kelapa dan air secukupnya dan kacau sehingga sebati. Adunan sepatutnya cair dan tidak boleh dijemput. (lihat gambar)

5. Akhir sekali masukkan kelapa kemantan dan kacau lagi.

6. Letakkan kuali canai (pan) di atas dapur dan pasang api perlahan (Kuali biasa pun boleh).
Jangan lupa baca doa nyalakan api dapur :
" Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh"

7. Di atas kuali canai (pan), sapukan sedikit minyak masak (sebaiknya sapu dengan menggunakan tuala good morning yang bersih. Minyak tidak sepatutnya bergenang)

8. Letakkan satu senduk, atau satu setengah senduk adunan (ikut saiz yang anda sukai) di atas pan berkenaan dan ratakan sehingga menjadi leper.
Bacalah zikir memasak seperti di bawah ini:

Istiqfar -3x
Selawat -3x
Laisalaha mindunillahi kashifah - berulang kali

9. Setelah agak keras di bahagian bawahnya (uji dengan menggunakan sudip, kalau lekang dah ok), terbalikkan segera dan tekan-tekan supaya adunan menjadi leper dan rata. Jangan tunggu sehingga masak baharu anda nak terbalikkan kerana adunan yang dah pejal tidak boleh di lenyek lagi.

10. Setelah kedua-dua bahagian lekang, alih-alihkan kedudukannya dengan memusing di sekeliling pan supaya ia masak di semua bahagian.

11. Setelah agak perang sedikit, bolehlah diangkat. Jangan biar ia garing dan hitam kerana secara naturenya lempeng ini memang lembut dan kenyal.

12. Hidangkan dengan gulai / kuah kari semalam. Bismillahirrohmanirrohiim.

22. Ayam Masak Hitam Manis


Salam adik-adik pembaca sekalian, moga-moga adik-adik dilimpahi rahmat dan sakinah dari Allah SWT.

Hari ini insyaAllah Kak Fatim nak tunjukkan satu resepi baru yang tak berapa susah dan agak sedap juga, insyaAllah. Anak-anak Kak Fatim bawa ke sekolah untuk makan pada waktu rehat. Kawan-kawan dia orang pun suka. Mungkin sesuai agaknya dengan selera kanak-kanak. Hmmm..... K Fatim namakannya Ayam Masak Hitam Manis. Resepinya macam di bawah ni...

Bahan-bahannya:

Bahan A - Untuk diperap
1 ekor ayam dipotong 12 bahagian - cuci dan selawatkan
1 sudu makan serbuk kunyit
1 sudu teh lada sulah
1 sudu teh garam halus

Bahan B - Bahan untuk dikisar
1 inci lengkuas
1 inci halia
1 biji bawang besar
5 ulas bawang merah
15 biji cili api (dibuang bijinya dan direbus dahulu)

Rempah untuk dikisar (direndam terlebih dahulu selama 1 jam):

1 sudu makan jintan putih
4 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis
10 biji lada hitam
1/2 cawan air untuk mengisar

Bahan-bahan lain:

2 sudu makan cuka
Air secukupnya
Kicap manis secukupnya
Garam dan gula secukup rasa.

Kaedah Penyediaan Mengikut Sunnah :

1. Masuk dapur bacalah doa memudahkan kerja :
                   "Rabbana atina fiddun ya hasanataw wa haiyik lana min amrina rashada"

2. Kisar bahan B sehingga lumat. Ambil cili kering yang telah direbus, buang airnya dan basuh bagi membuang lebihan asid borik di dalamnya. Masukkan cili dalam pengisar bersama bahan yang telah lumat tadi dan kisar sekadar memecahkan cili (tidak lumat).

3. Pasang dapur, bacalah doa ini"
                   "Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faq firli ansori wal muhajiroh."

4. Panaskan kuali dan tuangkan minyak.

5. Apabila minyak cukup panas, tuangkan bahan B yang telah dikisar halus. Kecilkan api dan kacau sekejap-sekejap.

6. Sementara itu, di dalam kuali lain, gorengkan ayam yang telah diperap, angkat dan toskan minyak. Semasa proses memasak jangan lupa baca zikir ini:
Istiqfar-3x
Selawat-3x
Laisalaha mindunillahi kashifah-berulang kali.

5. Bahan B perlu dimasak sehingga pecah minyak dan agak garing. Setelah itu tapiskan rempah yang telah dikisar. Perahkan airnya sahaja ke dalam kuali. Hampas rempah tadi dibuang. Biar hingga mendidih sebentar.
Tuang 2 sudu makan cuka.

6. Setelah itu masukkan ayam goreng tadi ke dalam kuali yang mengandungi bahan B dan kacau sebati. Perlahankan api supaya tidak hangit. Tuang 2 gelas air masak ke dalam kuali.

7. Kacau masakan tadi hingga mendidih selama 5 minit. Setelah itu tuangkan kicap manis sehingga warna kuahnya agak kehitaman. Kacau dan biar hingga mendidih.

8. Angkat dan hidangkan. Bismillahirrahmanirrahim.

Tuesday, February 15, 2011

21. Cucur Jagung Rangup



Salam adik-adik semua, apa khabar? Kak Fatim doakan sihat selalu. Kali ni Kak Fatim ada satu resepi yang menarik, sesuai dijadikan sarapan pagi di hujung-hujung minggu. Namanya cucur jagung atau jemput-jemput jagung. Kebetulan baru-baru ni mak Kak Fatim datang dari kampung. Kak Fatim bawa mak ke pasar Tani Tasek Gelugor. Mak kak Fatim seronok betul, diborongnya ulam-ulam kampung pelik-pelik yang dijual di situ, termasuklah jagung sekali. Jagung yang mak kak Fatim beli ni dari jenis jagung Taiwan. Memang sedap dan sesuai dibuat cucur atau direbus begitu sahaja. Cucur jagung yang Kak Fatim buat ini rangup di luar tetapi lembut di dalam. Boleh cuba...

Ha, inilah resepinya:

Bahan-bahannya: 

Bahan A
2 tongkol jagung, diambil isinya sahaja.
350 gram tepung gandum
1/2 labu bawang besar dipotong dadu
Segenggam ikan bilis dicincang pendek-pendek

1/3 peket mauripan (1 peket dibahagi 3- ambil 1 bhg sahaja)
1 sudu teh garam halus
1 sudu makan gula
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh bread improver
2 sudu makan mentega

Bahan B
1 biji telur
Air secukupnya.
Minyak masak secukupnya.



Tatacara mengikut sunnah

1. Masuk dapur bacalah doa :
"Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min amrina rashada" -doa
permudahkan kerja.

2. Pakai tutup kepala.

3. Masukkan kesemua Bahan A yang tersenarai di atas dan gaulkan sehingga sebati.

5. Masukkan telur dan air dan gaul lagi sehingga sebati. Pastikan adunan adalah lembut dan boleh dijemput. Setelah itu biar sekejap sehingga adunan naik sedikit (lebih kurang 10 minit).

6. Panaskan kuali dan masukkan minyak secukupnya.
     Baca doa pasang api:
     "Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faq firli ansori wal muhajiroh"

7. Apabila minyak telah cukup panas, jemput-jemputkan adunan  ke dalam kuali dan biar seketika.

8. Apabila adunan agak pejal, cerai-ceraikan setiap cucur yang melekat dan alih-alihkan beberapa kali.
jangan lupa baca zikir memasak :
       Selawat - 3x
       Istiqfar - 3 x
     "Laisalaha mindunillahi kashifah "

9. Setelah agak kekuningan, angkat dan toskan minyaknya.

10. Cucur anda telah siap dan sedia untuk dihidang. Bismillahirrahma nirrahim.

Thursday, February 3, 2011

20. Ikan Sungai Goreng Bawang

 
Salam adik-adik Kak Fatim sekalian, apa khabar? Semoga sentiasa dalam rahmat, sakinah dan hidayah dari Allah SWT.
Apa macam, dah cuba resepi-resepi yang Kak Fatim tunjukkan tu? Hmm, kalau dah cuba baguslah. Sebaiknya amalkan sunnah-sunnahnya sekali. Sebabnya dalam sunnah itu ada kejayaan. Maulidul Rasul pun dah dekat ni. Tanda kita cintakan Rasulullah SAW ialah dengan mengikut sunnah Baginda Rasulullah SAW. Besar pahalanya dik. Syafaat pun dapat, InsyaAllah.


Kak Fatim nak cerita. Sejak akhir-akhir ni suami Kak Fatim dah ada hobi baru. Dia suka menjala ikan. Sungai di belakang rumah Kak Fatim tu banyak ikan. Kalau talapia, besar dua kali tapak tangan pun pernah dapat. Sekali tebar jala, kadang-kadang dapat 3,4 ekor. Semua tu rezeki dari Allah SWT juga kan.

Jadi hari ni Kak Fatim nak tunjukkan cara-cara menggoreng ikan sungai. Resepi ni sesuai bagi orang yang tak suka makan ikan air tawar sebab Kak Fatim masukkan rempah-rempah yang mengurangkan bau ikan tu.


Bahan-Bahannya: 

1. Ikan sungai secukupnya
2. Asam limau kasturi - 5- 6 biji
3. Bawang besar - 2 biji
4.Daun kari - 3 tangkai
5. Kunyit hidup - 1 1/2 inci
6. Halia - 1 inci
7. Cili merah - 2 biji
8. Serbuk lada - satu sudu teh
9. Garam secukup rasa


Cara-cara Memasak (Mengikut Sunnah Rasulullah SAW):

1.Seperti biasa, masuk ke dapur, pakai tutup kepala dan bacalah doa masuk dapur:

" Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min amrina rashada". - Dari surah Al Kahfi - sebahagian ayat ke 10.

2. Proses ikan sungai dengan membuang sisik, membelah dan membuang  perut,  insang dan  sirip-siripnya. Buang juga urat darah yang melekat pada bahagian dalam perutnya dengan menggunakan pisau. Untuk ikan talapia,  selepas membelah perut dan membuang isi perutnya, anda kena belah lagi bahagian dalam perutnya kerana ada lagi satu lapisan sebelum sampai ke urat darah dalam perutnya. Selepas itu bersihkan dan selawatkan.

3. Setelah selesai proses ini, rendamkan ikan sungai anda dalam air perahan limau kasturi. Ini bertujuan menghilangkan bau ikan sungai yang kurang sedap. Namun begitu pastikan anda tidak membiarkan ikan terendam lebih dari 10 minit kerana rendaman yang lama akan menyebabkan ikan menjadi kembang dan rasa menjadi tawar. Rasa manis ikan boleh hilang malah bagi ikan yang berisi tebal seperti ikan talapia, rasa pahit kulit limau boleh meresap masuk ke dalam isinya.


4. Sementara itu, masukkan halia dan kunyit hidup ke dalam lesung batu dan tumbuk sehingga lumat. Kemudian campurkan hirisan bawang dan hirisan cili serta daun kari, tumbuk lagi tetapi jangan hancurkannya. Tumbuk kasar sahaja.


6. Keluarkan ikan tadi dan  cuci dengan air bersih. Kemudian gaulkan dengan bahan yang telah ditumbuk tadi beserta serbuk lada dan garam secukup rasa. Biarkan kira-kira 20 minit.

7. Sementara itu panaskan minyak di dalam kuali. Jangan lupa bacaan doa ketika menyalakan api:
          " Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faq firli ansori wal muhajiroh" -

8. Kemudian masukkan ikan tadi beserta bahan yang telah digaulkan. Sekiranya bahan yang digaulkan garing terlebih dahulu, keluarkan dengan menggunakan sudip berlubang atau angkat dan saringkan minyaknya dan masukkan ke dalam pinggan hidangan terlebih dahulu.

9. Ketika masak jangan lupa membaca zikir masak seperti:
          Selawat - 3 x
         Istiqfar - 3x
         Laisalaha mindunillahi kashifah - berulang kali.

10..Setelah ikan anda garing, angkat dan letakkan dalam pinggan hidangan dan taburkan bahan yang digaulkan tadi di atasnya. Sedia untuk dihidang...




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...