Tuesday, January 24, 2012

LAKSA MAMBO SIMPANG EMPAT


Salam adik-adik semua, semoga sihat-sihat. Kalau tidak sihat pun perlu bersyukur. Itu ujian dari Allah SWT untuk hambaNya agar dosa-dosa hambaNya diampunkan. Kak Fatim pun tak sihat sejak akhir-akhir ini. Bila sering sakit, kita sering ingatkan kematian. Maka dari situ, kita sering ingat pada Allah SWT. Kadang-kala bila dah sakit sangat, air mata pun mengalir. Tapi Kak Fatim sering berdoa pada Allah SWT agar dipanjangkan usia dalam keadaan sentiasa ingat padaNya dan berpeluang berbuat kebajikan. Tidak mengapalah kalau kakak rasa sakit, asal penyakit itu tidak mudarat dan menghalang kita dari ibadah.

Dalam sakit-sakit pun Kak Fatim teringat nak update blog. Maklumlah masak ni memang Kak Fatim minat. Hari ni Kak Fatim nak perkenalkan sejenis masakan tradisi orang Pulau Pinang yang memang terkenal. Laksa. Tapi ini laksa mambo. Laksa mambo ni ada di jual di banyak tempat di Seberang Perai. Kalau dibeli di kedai berlainan, rasanya lain-lain. Ikut suka tuan yang memasaknya. Tapi yang Kak Fatim nak ajar ni adalah jenis yang Kak Fatim makan masa kecil-kecil dahulu. Kak Fatim modified sikit, masukkan cucur tepung beras, cucur tepung beras ni adalah tradisi orang kampung Kak Fatim di daerah Simpang Empat Tasek. Kalau mereka makan laksa mesti ada cucur tepung beras. Kalau tak ada macam tak lengkap.

Bahan-bahan:

1. Untuk Kuah

1 kati ikan sardin (selayang)
1/2 kati ikan kembung
1 tin ikan sardin dalam tin
15 keping asam keping
10 biji bawang merah
2 biji bawang besar di belah 4
3 inci belacan
20 tangkai cili kering
Dua kuntum bunga kantan dan batangnya dibelah dua dan dipotong pendek
10 tangkai daun cendehom
Garam kasar secukup rasa.

2. Untuk Laksa dan bahan untuk ditabur diatasnya


1 bungkus laksa direndam terlebih dahulu hingga lembut
1 biji bawang besar dimayang nipis
1 biji timun dihiris panjang (seperti gambar di atas)
Daun salad dirincik halus
Daun janggus (gajus) dirincik halus
Limau kasturi dibelah dua
Telur rebus dibelah dua
Cili merah dan cili api dirincik halus


 Kaedah memasak mengikut sunnah:

1. Waktu memasak hendaklah memakai tutup kepala.
2. Masuk ke dapur bacalah doa untuk mempermudahkan kerja iaitu:
"Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyik lana min amrina rashada" ( sila rujuk bacaan sebenar dalam surah Al Kahfi.

3. Pasang api dan bacalah doa ini:
" Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh"

4. Basuh semua bahan dengan berselawat ke atas Rasulullah SAW.

5. Rebus air hingga mendidih dan masukkan laksa yang telah direndam tadi, cara ini akan mempercepatkan masaknya laksa tadi dan menghalang dari mudah patah.

6.. Angkat laksa yang telah lembut dan toskan airnya. Anda boleh juga membasuh laksa yang telah masak dengan membilas di bawah pancuran air. Ini akan menghilangkan kanji yang berlebihan dan melekit pada laksa.

7. Cara menghidang, laksa boleh disenduk masuk ke dalam pinggan dan ditaburkan dengan bahan-bahan yang telah dipotong halus tadi.
 Cara Memasak Kuah:

1. Potong cili kering pendek-pendek dan rebus bersama sedikit air di atas dapur. Setelah mendidih dan lembut, basuh cili tadi dan buang sebahagian besar bijinya. Cara ini perlu diamalkan setiap kali menggunakan cili kering dalam masakan kerana ia akan menghilangkan sebahagian besar asid borik semulajadi yang terdapat di dalam cili yang amat merbahaya untuk perut kita.

2. Kisarkan bawang besar, bawang merah, cili kering yang telah direbus barsama belacan.

3. Masukkan campuran yang telah dikisar ke dalam periuk dan rebus. Masukkan bersama asam keping dan bunga kantan. Rebus hingga kering dan hilang bau bawang mentah. Setelah kering tambahkan sedikit air, rebus lagi dengan api perlahan.

4. Rebus ikan sardin dan ikan kembung sehingga masak, toskan airnya dan sejukkan. Kemudian asingkan isi dengan tulangnya dan kisar isi ikan berkenaan. Gunakan air rebusan ikan semasa mengisar.

5. Setelah dikisar, masukkan dalam kuah yang sedang ditanak tadi.
Bacalah zikir memasak iaitu :
Istiqfar -3x
Selawat - 3 x
Subhanallah - sepanjang memasak

6. Kemudian, kisar sardin tin dan masukkan bersama kuah tadi. Masukkan garam kasar dan air secukupnya (guna air masak) dan kacau dari masa ke semasa sehinggalah kuah masak. Elakkan menggunakan garam halus kerana ia akan membuatkan kuah terasa payau.

7. Setelah masak, masukkan daun cendehom dan tutup api. Hidangkan dengan mencurah kuah secukupnya ke atas laksa tadi.



3. Bahan untuk cucur tepung beras

1/3 Kg tepung beras
Semangkuk udang saiz kecil dibuang kulit dan dibersihkan atau
Segenggam ikan bilis dikisar
1/2 sudu teh serbuk kunyit
Garam dan air secukupnya


Cara-cara membuat cucur tepung beras:

1. Campurkan semua bahan yang disenaraikan di atas dan kacau sebati. Adunan hendaklah cair dan tidak boleh dijemput.


2. Panaskan kuali, masukkan minyak banyak dan curah-curahkan minyak di sekeliling bahagian kuali yang tidak terkena minyak. Setelah minyak panas, leretkan satu senduk adunan tadi di kuali dan curahkan sedikit minyak ke atas adunan yang melekat pada kuali. Apabila ia lekang, goreng kepingan cucur tadi sehingga garing dan angkat.
3. Toskan minyak dan guntingkan kecil-kecil. Taburkan dalam hidangan laksa tadi sebelum anda curahkan kuah ke atasnya. Cucur ini sepatutnya menjadi lembut dan menyerap kuah berkenaan.







Sebelum makan, jangan lupa baca basmalah dan  doa makan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...