Thursday, February 3, 2011

20. Ikan Sungai Goreng Bawang

 
Salam adik-adik Kak Fatim sekalian, apa khabar? Semoga sentiasa dalam rahmat, sakinah dan hidayah dari Allah SWT.
Apa macam, dah cuba resepi-resepi yang Kak Fatim tunjukkan tu? Hmm, kalau dah cuba baguslah. Sebaiknya amalkan sunnah-sunnahnya sekali. Sebabnya dalam sunnah itu ada kejayaan. Maulidul Rasul pun dah dekat ni. Tanda kita cintakan Rasulullah SAW ialah dengan mengikut sunnah Baginda Rasulullah SAW. Besar pahalanya dik. Syafaat pun dapat, InsyaAllah.


Kak Fatim nak cerita. Sejak akhir-akhir ni suami Kak Fatim dah ada hobi baru. Dia suka menjala ikan. Sungai di belakang rumah Kak Fatim tu banyak ikan. Kalau talapia, besar dua kali tapak tangan pun pernah dapat. Sekali tebar jala, kadang-kadang dapat 3,4 ekor. Semua tu rezeki dari Allah SWT juga kan.

Jadi hari ni Kak Fatim nak tunjukkan cara-cara menggoreng ikan sungai. Resepi ni sesuai bagi orang yang tak suka makan ikan air tawar sebab Kak Fatim masukkan rempah-rempah yang mengurangkan bau ikan tu.


Bahan-Bahannya: 

1. Ikan sungai secukupnya
2. Asam limau kasturi - 5- 6 biji
3. Bawang besar - 2 biji
4.Daun kari - 3 tangkai
5. Kunyit hidup - 1 1/2 inci
6. Halia - 1 inci
7. Cili merah - 2 biji
8. Serbuk lada - satu sudu teh
9. Garam secukup rasa


Cara-cara Memasak (Mengikut Sunnah Rasulullah SAW):

1.Seperti biasa, masuk ke dapur, pakai tutup kepala dan bacalah doa masuk dapur:

" Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min amrina rashada". - Dari surah Al Kahfi - sebahagian ayat ke 10.

2. Proses ikan sungai dengan membuang sisik, membelah dan membuang  perut,  insang dan  sirip-siripnya. Buang juga urat darah yang melekat pada bahagian dalam perutnya dengan menggunakan pisau. Untuk ikan talapia,  selepas membelah perut dan membuang isi perutnya, anda kena belah lagi bahagian dalam perutnya kerana ada lagi satu lapisan sebelum sampai ke urat darah dalam perutnya. Selepas itu bersihkan dan selawatkan.

3. Setelah selesai proses ini, rendamkan ikan sungai anda dalam air perahan limau kasturi. Ini bertujuan menghilangkan bau ikan sungai yang kurang sedap. Namun begitu pastikan anda tidak membiarkan ikan terendam lebih dari 10 minit kerana rendaman yang lama akan menyebabkan ikan menjadi kembang dan rasa menjadi tawar. Rasa manis ikan boleh hilang malah bagi ikan yang berisi tebal seperti ikan talapia, rasa pahit kulit limau boleh meresap masuk ke dalam isinya.


4. Sementara itu, masukkan halia dan kunyit hidup ke dalam lesung batu dan tumbuk sehingga lumat. Kemudian campurkan hirisan bawang dan hirisan cili serta daun kari, tumbuk lagi tetapi jangan hancurkannya. Tumbuk kasar sahaja.


6. Keluarkan ikan tadi dan  cuci dengan air bersih. Kemudian gaulkan dengan bahan yang telah ditumbuk tadi beserta serbuk lada dan garam secukup rasa. Biarkan kira-kira 20 minit.

7. Sementara itu panaskan minyak di dalam kuali. Jangan lupa bacaan doa ketika menyalakan api:
          " Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faq firli ansori wal muhajiroh" -

8. Kemudian masukkan ikan tadi beserta bahan yang telah digaulkan. Sekiranya bahan yang digaulkan garing terlebih dahulu, keluarkan dengan menggunakan sudip berlubang atau angkat dan saringkan minyaknya dan masukkan ke dalam pinggan hidangan terlebih dahulu.

9. Ketika masak jangan lupa membaca zikir masak seperti:
          Selawat - 3 x
         Istiqfar - 3x
         Laisalaha mindunillahi kashifah - berulang kali.

10..Setelah ikan anda garing, angkat dan letakkan dalam pinggan hidangan dan taburkan bahan yang digaulkan tadi di atasnya. Sedia untuk dihidang...




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...