Saturday, February 19, 2011

23. Lempeng Kelapa Kemantan (Peknga Nyok Kemantan)

Hidangan lempeng dengan gulai ikan semalam

 Salam adik-adik pembaca semua, Kak Fatim doakan anda semua dalam limpahan rahmat, sakinah dan hidayah dari Allah SWT.

Hari ni Kak Fatim nak tunjukkan cara-cara memasak satu resepi yang cukup istimewa dan cukup menyelerakan, insyaAllah. Resepi ini adalah resepi tradisi orang-orang tempatan di perkampungan Kak Fatim. Namun begitu Kak Fatim tak pasti orang-orang muda di kawasan ini masih tahu cara membuatnya. Caranya memang mudah dan rasanya memang sedap. Sampai teringat-ingat. Apalagi kalau makan time panas-panas dan dicicah dengan gulai ikan semalam. Amboi mak, berebut anak-anak Kak Fatim sampai bergaduh-gaduh. Kelakar pulak rasanya.

Bahan-bahannya pulak tak susah diperolehi. Kebetulan di belakang rumah Kak Fatim ada pokok kelapa. Tapi bagi sesiapa yang tak ada pokok kelapa, beli aje air kelapa muda dan isinya sekali. Minta pada penjual air kelapa tu isi kelapa yang agak keras sikit. Istilah orang utara - kemantan. Mudah aje kan?

Baiklah, resepinya begini :

Bahan-bahan: (untuk hidangan 5-7 orang)

600 g tepung gandum
Semangkuk isi kelapa muda kemantan
1 gelas air kelapa muda
2 sudu makan gula (boleh dikurangkan jika tidak suka)
1 sudu teh garam halus
2 biji telur
Air masak secukupnya
Sedikit minyak masak

Cara Memasak Mengikut Sunnah: 

1. Masuk dapur pakailah tutup kepala dan bacalah doa ini:

" Robbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min amrina roshada " -sebahagian ayat ke 10 surah Al Kahfi.    

2. Masukkan tepung ke dalam mangkuk bersama garam dan gula.

3. Gaul-gaulkan sebati. Pecahkan 2 biji telur ke dalamnya dan gaul lagi sehingga menjadi seperti serbuk roti.

4. Masukkan air kelapa dan air secukupnya dan kacau sehingga sebati. Adunan sepatutnya cair dan tidak boleh dijemput. (lihat gambar)

5. Akhir sekali masukkan kelapa kemantan dan kacau lagi.

6. Letakkan kuali canai (pan) di atas dapur dan pasang api perlahan (Kuali biasa pun boleh).
Jangan lupa baca doa nyalakan api dapur :
" Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh"

7. Di atas kuali canai (pan), sapukan sedikit minyak masak (sebaiknya sapu dengan menggunakan tuala good morning yang bersih. Minyak tidak sepatutnya bergenang)

8. Letakkan satu senduk, atau satu setengah senduk adunan (ikut saiz yang anda sukai) di atas pan berkenaan dan ratakan sehingga menjadi leper.
Bacalah zikir memasak seperti di bawah ini:

Istiqfar -3x
Selawat -3x
Laisalaha mindunillahi kashifah - berulang kali

9. Setelah agak keras di bahagian bawahnya (uji dengan menggunakan sudip, kalau lekang dah ok), terbalikkan segera dan tekan-tekan supaya adunan menjadi leper dan rata. Jangan tunggu sehingga masak baharu anda nak terbalikkan kerana adunan yang dah pejal tidak boleh di lenyek lagi.

10. Setelah kedua-dua bahagian lekang, alih-alihkan kedudukannya dengan memusing di sekeliling pan supaya ia masak di semua bahagian.

11. Setelah agak perang sedikit, bolehlah diangkat. Jangan biar ia garing dan hitam kerana secara naturenya lempeng ini memang lembut dan kenyal.

12. Hidangkan dengan gulai / kuah kari semalam. Bismillahirrohmanirrohiim.

2 comments:

  1. Meleleh air liur,nampak sungguh menyelerakan.hujung minggu nie kena cuba buat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Baguih-baguih. Sila buat. Lepas tu boleh perkenalkan blog pada kengkawan.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...