Thursday, January 20, 2011

19. Mee Lemak Cili Api



Salam adik pembaca sekelian, Kak Fatim doakan semoga sentiasa di bawah lembayung rahmat dan sakinah dari Allah SWT.

Hmm.. sekarang dah jam 10.55 malam. Kak Fatim berada di Hospital Seberang Jaya, sedang menemani anak Kak Fatim yang akan menjalani minor operation esok. Moga-moga Allah SWT permudahkan. Agak susah K Fatim nak lelapkan mata memandangkan pada pukul 12.00 adalah masa terakhir untuk anak K Fatim makan dan pukul 4.00 pagi masa terakhir anak K Fatim minum. Lepas tu kena puasa sampailah tamat operation jam 12.00 tgh esok, insya Allah. Kesian akak tengok dia...

Sambil-sambil tu bolehlah Kak Fatim tunjukkan adik-adik sekelian cara membuat Mee Lemak. Ini masakan orang Melaka. Resepi dari arwah bapa mertua Kak Fatim. Ibu mertua yang ajarkan. Boleh tahan juga rasanya. Sesiapa yang sukakan masak lemak cili api, mungkin akan suka makan mee lemak ni.

BAHAN-BAHANNYA:

Sebungkus mee kuning dicelur air panas dan disejat

Bahan untuk kuah mee:

Bahan A - Untuk dikisar:

7 ulas bawang merah
Segenggam udang kering
Segenggam ikan bilis
Belacan sebesar ibu jari
10 biji cili api

Bahan lain:
1/2 kilo udang harimau / udang kertas
5 keping asam keping
4 batang serai diketuk dan dipotong pendek
Santan pekat dari 1 biji kelapa
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

Bahan B - Bahan untuk hiasan:
Kacang panjang (dipotong pendek2)
Taugeh mentah
Timun dipotong seperti hiasan laksa
Carrot dipotong panjang seperti timun
Cili merah dimayang halus (optional)
Buah tomato dihiris nipis
Limau kasturi atau limau nipis (dibelah 2/ dihiris nipis)
Tauhu - digoreng dan dipotong dadu.

Bahan C - Bahan untuk sambal bilis:

Segenggam ikan bilis (direndam air panas terlebih dahulu)
5 ulas bawang merah (dimayang dan digoreng garing)
10 biji cili api
Garam dan gula
Asam limau

CARA-CARA MEMASAK MENGIKUT SUNNAH:

1. Seperti biasa, masuk dapur tutup kepala dan bacalah doa bagi memudahkan kerja:
         " Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana mina amrina rashada"

2. Selepas itu, celur mee, basuh dan sejatkan. Ketepikan atau simpan di bawah tudung saji.

3. Kisar semua bahan A dan tuangkan ke dalam periuk. Masukkan sedikit air, serai yang telah diketuk dan dipotong pendek dan asam keping. Pasang api perlahan dan kacau campuran sekali sekala sehingga agak kering.
Doa pasang api:
          "Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh".

4. Setelah agak kering, masukkan air secukupnya beserta santan pekat dan garam. Kacau sebati sehingga mendidih. Setelah agak lama mendidih, masukkan udang yang telah dibuang janggutnya dan sebahagian kulit. Udang hendaklah dimasukkan sekejap sahaja dan dimasak dengan api panas. Kemudian padamkan api.

5. Sediakan bahan hiasan dengan menghiris halus semua bahan hiasan di atas seperti bahan hiasan laksa. Semua bahan hiasan mee ini adalah ulaman yang dimakan mentah. Hirisan limau nipis adalah seperti hiasan mee biasa sementara hirisan limau kasturi seperti hiasan laksa (dibelah dua)

6. Sambal bilis boleh disediakan dengan menumbuk bahan-bahan C menggunakan lesung dan memerah air limau ke dalamnya. Tuangkan sedikit air dan masukkan garam dan gula secukup rasa.

Ketika memasak bacalah zikir memasak yang disunnahkan iaitu:
                  Istiqfar - 3 x
                  Selawat - 3 x
                 Laisalaha mindunillahi kashifah - berulang kali

7. Mee lemak ini boleh dimakan dengan memasukkan sedikit mee ke dalam mangkuk, taburkan serba sedikit bahan hiasan ke atas mee, tuangkan sesudu teh sambal bilis dan tuangkan kuah ke atas campuran tadi.

8. Sedia untuk dihidang. Bismillahirrohmanirrohim.

1 comment:

  1. Thanks for sharing!

    Tlg lawat blog sya juga www.dbshortstoriesonline.blogspot.com

    Thanks!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...