Assalamualaikum wbt,
Ini resepi masak lemak kacang buncis yang diperturunkan oleh bonda Kak Fatim. Tapi, macam biasalah. Kak Fatim ejas sikit bahannya. Lauk ini memang sedap dan anak-anak Kak Fatim suka sangat. Boleh tukar udang dengan sotong atau ketam.
Bahan-bahannya adalah seperti berikut:
1/2 kg udang harimau
2 inci belacan
1 inci kunyit hidup
1 sudu teh serbuk kunyit
5-10 biji cili api
5-10 biji bawang merah
2 batang serai dititik
3-5 keping asam keping
Air secukupnya
Santan secukupnya (lebih kurang RM3.00)
Garam secukup rasa.
Kacang buncis - secekak
Kalau suka masukkan beberapa carik daun kunyit.
Kaedah Mengikut Sunnah:
1. Masuk ke dapur pakailah tutup kepala dan bacalah doa ini:
"Allahumma rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min amrina rashada" (surah Al Kahfi)
2. Kisarkan cili api, belacan, bawang merah dan kunyit hidup.
3. Pasang api perlahan, bacalah doa ini :
"Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh"
4. Letakkan periuk di atas api dan masukkan bahan yang siap dikisar. Masukkan asam keping dan serai.Kacau sedikit dan biar sehingga agak kering.
5. Setelah itu masukkan 2 cawan air dan kacau. Bacalah zikir memasak seperti ini:
Istiqfar- 3x
Selawat - 3x
Subhanallah - berulang kali
6. Masukkan garam secukup rasa.
7. Sekiranya warna masakan adik-adik pudar, masukkan sedikit lagi serbuk kunyit dan kacau.
8. Biar sehingga masakan berbuih/mendidih sedikit, kemudian masukkan santan pekat secukupnya. Kuantiti santan adalah mengikut kegemaran anda, jika anda sukakan kuah lemak yang pekat, masukkan lebih santan pekat.
9. Masukkan juga udang harimau dan kacang buncis.
10. Kacau masakan perlahan-lahan dengan kaedah mencedok kuah dengan menggunakan senduk dan menuang kembali ke atas masakan. Jangan biarkan kuah mendidih sehingga pecah lemak. Kuah yang pecah lemak (lemak dan air terasing) akan menjejaskan rupa masakan.
11. Setelah masak, hiaskan dengan daun kunyit.
Selamat mencuba...