Tuesday, November 30, 2010

14. Cucur Kodok labu (jemput-jemput labu)



Salam semua, apa khabar? Lama sungguh Kak Fatim tak masukkan entry baru. Bukan tak ada resepi, tapi sibuklah sangat. Pulak tu, ada banyak blog Kak Fatim tengah bangunkan. Termasuklah kesibukan pelajar-pelajar Kak Fatim nak exam. Alhamdulillah dicelah-celah tu, ada jugalah satu slot Allah nak luangkan untuk Kak Fatim meninggalkan jejak ilmu sepanjang hayat untuk adik-adik semua.

Haa.. resepi kali ini, cucur kodok labu.. resepi ni jarang-jarang orang buat. Kalau ada pun dah hampir pupus ditelan zaman. Orang dahulu kala ada buat. Kak Fatim belajar cucur ni by chance aje. Ada satu hari tu, masa di universiti, kami satu rumah sewa buat jualan nasi berlauk. Tapi salah satu lauk kami, masak putih/lemak labu, tak laku. Jadi Kak Fatim pun apa lagi, modified labu-labu dalam masak lemak tu jadi cucur kodok. Habis licin di makan dek kawan-kawan serumah sewa. alhamdulillah...

Labu adalah makanan kegemaran Rasulullah SAW. Sesiapa yang cintakan Rasulullah, kenalah sukakan makanan kegemaran Rasulullah. Tidak boleh benci atau tidak suka. Itulah tanda kasih..tanda cinta pada Rasulullah. Seorang Sahabat Ranhu tidak sukakan labu tetapi apabila beliau melihat Rasulullah tercari-cari labu dalam masakan berlabu yang dihidangkan pada mereka, beliau terus menjadikan labu makanan kesukaannya dan selalu memakan masakan labu selepas itu. Maksud hadith, barangsiapa cintakan Rasulullah SAW hendaklah dia mengamalkan sunnah Rasulullah SAW. Barangsiapa yang cinta dan beramal dengan sunnah Rasulullah SAW makan dia akan bersama dengan Rasulullah SAW di dalam syurga.

Inilah dia resepi Cucur Kodok Labu:

Sebiji labu dikupas dan dipotong dadu (2 inci), direbus sehingga agak lembut
Tepung gandum secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
Mayonnaise dan telur (optional)













Tatacara mengikut sunnah

1. Masuk dapur bacalah doa :
"Rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min amrina rashada" -doa
permudahkan kerja.

2. Pakai tutup kepala.

3. Potong labu mengikut pangsanya (joros), kerat pendek, baharulah buang kulitnya
(jika buang kulit terlebih dahulu baru potong, kerja akan menjadi sukar)

4. Buang biji labu dan arinya.

5. Rebus dengan sedikit air dan garam secukup rasa (air agak2 tenggelam labu)

6. Selepas mendidih selama 5 minit, cucuk labu dengan garfu. jika lembut, terus angkat dan buang airnya. Jangan biarkan labu terendam dan lembik, ini akan menyebabkan anda terpaksa menggunakan lebih tepung untuk mengentalkan adunan. Tepung lebih akan menghilangkan rasa labu.

7.Biarkan labu sejuk terlebih dahulu. Adunan panas akan menyerap minyak.

baca zikir masak :
Selawat - 3x
Istiqfar - 3 x
"Laisalaha mindunillahi kashifah "

8. Setelah sejuk masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh dijemput.

9. Masukkan gula secukup rasa.

10. Masukkan sebiji telur dan sesudu mayonnaise jika suka.

11. Panaskan minyak, baca doa:

"Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh".

12. Jemput-jemputkan ke dalam minyak yang panas.

13. Goreng hingga keperangan dan angkat.

14. Sejatkan minyak dan sedia untuk dimakan. Bismillah...

Monday, November 8, 2010

13. Roti Sandwich Triangle Sifu











Salam semua, apa khabar. Harap sihat dan sentiasa dirahmati Allah SWT hendaknya.
Hari ni ada resepi baru untuk semua. Resepi ini insyaAllah, sedap dan menarik. Roti yang dihasilkan insyaAllah tahan 3 hari. Anak-anak boleh bawa ke sekolah dan kongsi dengan kawan-kawan. Resepi untuk doh roti diambil dari buku Chef Wan, bentuk roti pula ajar oleh seorang chef di Kolej komuniti tempat Kak Fatim bekerja. Namanya Chef Shima. Sebagai menghargai jasa-jasa dia orang, kak Fatim namakan sebagai Roti Sandwich Triangle Sifu ye..

Bahan-bahan :

Bahan doh:

500 g tepung high protein
1 sudu teh gula kastor /gula halus
1 paket mauripan
1 biji telur
80 g mentega -dilembutkan dengan meletakkan secara double boiler di atas air panas.
1/2 sudu teh bread improver (optional)
1/2 sudu teh garam halus
1/2 cawan air
susu secukupnya untuk menggaul doh
Kuning telur

Bahan inti :

Satu tin sardin
1 biji bawang besar- dimayang
Sedikit jus limau nipis

(di masak sekejap dalam kuali sehingga bawang lembut)

Kaedah (mengikut sunnah):

Masuk dapur bacalah doa memudahkan kerja iaitu:

"Allahumma rabbana atina milladunka rahmataw wahaiyiklana min amrina rashada"

1. Untuk membuat ibu roti, larutkan gula dalam 1/2 cawan air. Masukkan mauripan. Tinggal selama 10 minit sehingga berbuih. Sekiranya tidak berbuih, mauripan tidak lagi boleh digunakan (expired).

2. Di dalam bekas lain, campurkan tepung, garam halus dan bread improver. Gaul sebati.

3. Masukkan mentega yang telah dilembutkan dan telur. Gaul sebati sehingga menjadi seperti serbuk roti.

4. Buat lubang ditengah adunan dan tuangkan ibu roti tadi. Gaulkan lagi sehingga sebati.

5. Tuangkan susu sehingga tepung tadi melekat sebati dan boleh diuli.

6. Uli selama 15-20 minit / sehingga lembut dan boleh dibentuk. Uli dengan cara menekan menggunakan pergelangan tangan (lihat gambar).

Semasa menguli bolehlah berzikir seperti di bawah:

"Laisalaha mindunillahi kashifah" - banyak kali
"Istiqfar"- 3 x
"Selawat" -3 x

7. Setelah sebati, tutup dengan lain lembap dan tinggalkan selama 1 jam (lihat gambar).

8. Setelah saiznya mengembang sebanyak 2 kali ganda, bahagikan kepada beberapa bahagian kecil seberat 60 g (60 g adalah berat standard roti lembut).

9. Ambil setiap satu yang telah dibahagi dan golekkan menjadi bulat.

10. Canai menjadi leper dan letakkan inti sandwich ditengah-tengahnya (lihat gambar).

11. Lipat 3 sisi tepi ke dalam untuk membentuk segi tiga (lihat gambar).

12. Tautkan ketiga-tiga bahagian sisi tepi untuk mengelakkan intinya keluar.

13. Terbalikkan roti yang telah dikasilkan di mana bahagian yang ditaut menjadi bahagian bawah dan bahagian dasarnya menjadi bahagian atas.

14. Biarkan selama 1 jam sehingga ia kembang.

15. sapu telur kuning yang dicampur sedikit susu atau air dipermukaannya.

15. Boleh dibakar pada suhu 180 -200 darjah celcius.

Resepi yang sama boleh digunakan untuk membuat roti sosej dengan melilitkan doh disekeliling sosej.

Sedia untuk di hidang. Bismillah..




Wednesday, November 3, 2010

12. Seafood Pizza Mudah





Salam adik-adik sekalian,
Lama sungguh Kak Fatim tidak menaip. Rindu sangat nak menaip dalam ni. Tapi masa sangat tidak mengizinkan. Saban hari kalut. Namun, minat memasak tetap ada dalam hati Kak Fatim. Selalunya sebelum anak-anak ke sekolah, Kak Fatim ada sediakan sarapan . Baru-baru ni Kak Fatim sediakan pizza untuk anak-anak makan dan bawa ke sekolah. Pizza ni memang mudah dan cepat disediakan. Kak Fatim uli doh pukul 5.30 pagi. Pukul 7.00 dah sedia untuk mereka sarapan. Inilah resepinya:

Bahan-Bahan:

A. Pizza base (sukatan ini dapat 3 keping pizza saiz 10"):

1/2 kilo tepung high protein
2 sudu makan minyak masak
1/2 sudu teh garam halus
1 paket mauripan (ibu roti)
2 sudu makan madu lebah (untuk merangupkan pizza)
Air secukupnya


B. Pizza topping:

3 sudu makan pizza topping (leggo, prego dll)- cari yang halal, baca bahannya. Pizza topping boleh dibuat sendiri menggunakan buah tomato dan tomato puree dan pelbagai citarasa mengikut kreativiti anda.
1 tin kecil sardin


C. Bahan untuk ditabur (dressing):

Cendawan butang-dihiris nipis
Nenas tin - ditos airnya dan dipotong kecil2
Fish ball dan fish cake - dihiris nipis (cari yang keluaran muslim)
Udang kertas/ udang harimau - 20 ekor (buang kulit, janggut dan kakinya, tinggal isi je)
Capsicum (cili belanda) - 1 merah, 1 hijau- dipotong dadu
Bawang besar bombay- dihiris bulat tetapi nipis (boleh guna peeler)
Keju Mozarella (cari yang microbial rennet)

Kuantiti bahan di atas adalah mengikut citarasa anda.

Kaedah memasak (mengikut sunnah):

1. Masuk dapur pakailah tudung kepala dan bacalah doa ini:
"Rabbana aatina fiddun ya hasanataw wahaiyiklana min amrina rashada".

2. Campurkan semua bahan pizza base (air dituang sedikit-sedikit sehingga doh dapat diadun dengan sempurna) dan uli sehingga lembut iaitu lebih kurang 15 minit. Semasa menguli bolehlah menbaca zikir memasak:
"Laisalaha min dunillahi kashifah"
"Istiqfar -3 x"
"Selawat -3 x"


2. Bahagikan doh kepada tiga bahagian dan canaikan menggunakan penggelek.

3. Letak doh yang telah dicanai dalam pizza pan dan ratakan sehingga ke tepi (memenuhi pizza pan).

4. Biar selama setengah jam di bawah tudung saji sehingga naik 2 kali ganda ketebalan asal.

5. Setelah naik, masukkan ke dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada kepanasan 250 darjah selama 5 minit. Semasa memasang oven bolehlah membaca doa ini:

" Allahumma la aisya illa aisul akhiroh, faqfirli ansori wal muhajiroh"

6. Sementara itu campurkan pizza topping dan sardin, kemudian hancurkan sardin berkenaan sehingga menjadi pes.

7. Keluarkan pizza dari oven, biarkan sejuk sebentar dan ratakan pes pizza topping di atas pizza base.

8. Kemudiannya, letakkan bahan dressing dengan menyusun satu persatu dan diakhiri dengan bawang dan mozarella (terakhir).

9. Setelah selesai, bolehlah dibakar pada suhu 225-250 darjah selama 10 minit.

10. Pizza masak apabila permukaan mozarella menjadi tompokan keperangan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...